Apa yang termasuk dalam pengertian tabarruj?
Hukum tabarruj adalah haram. Wanita yang bertabarruj adalah berdosa kerana ia melanggar arahan Allah di dalam al-Quran iaitu firmanNya;وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى“…dan janganlah kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu ….”. (al-Ahzab: 33)Adapun makna tabbaruj; dari sudut bahasa ia bermaksud membuka dan menampakkan sesuatu untuk dilihat mata. Imam Zamakhsyari berkata; hakikat tabarruj ialah sengaja membuka/mendedahkan apa yang sepatutnya disembunyikan. Namun tabarruj dalam ayat di atas adalah khusus untuk perempuan terhadap para lelaki iaitu ia menampakkan perhiasannya dan kecantikannya kepada mereka. (al-Halal wa al-Haram, Dr. al-Qaradhawi, hlm. 238). Menurut Imam an-Nasafi, tabarruj ialah berjalan melenggang-lengguk dan mendedahkan perhiasan. (Tafsir an-Nasafi, surah al-Ahzab, ayat 33)Secara terperinci, perkara yang tergolong di dalam pengertian tabarruj ialah;[1]
1. Mendedahkan aurat yang sepatutnya ditutup
2. Mendedahkan perhiasan pada badan yang tidak sepatutnya diperlihatkan melainkan kepada suami atau mahram sahaja
3. Bertingkah-laku dan bercakap dengan gaya yang boleh menggairahkan lelaki.
4. Bergaul bebas dengan para lelaki
5. Tidak memakai tudung kepala dengan sempurna hingga menampakkan rambut dan perhiasan-perhiasan di leher, telinga dan sebagainya.
6. Bersolek dengan solekan yang boleh menimbulkan perasaan ghairah kepada kaum lelaki. Ini termasuklah memakai gincu bibir, memakai pipi merah, berwangi-wangian di luar rumah dan sebagainya.
Rujukan;
1. Al-Halal wa al-Haram, Dr. al-Qaradhawi.
2. Tafsir an-Nasafi, surah al-Ahzab, ayat 33.
3. Mu’jam Tafsir Kalimaatil-Quran (Muhammad ‘Adnan Salim dan Muhammad Wahbi Sulaiman).
[1] Lihat; al-Halal wa al-Haram, hlm. 160, Mu’jam Tafsir Kalimaatil-Quran (Muhammad ‘Adnan Salim dan Muhammad Wahbi Sulaiman).
Friday, October 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment